Kekuatan luaran melawan musuh-musuh bersekutu, datangnya daripada kekuatan dalaman yang menjemput pertolongan Robb.



Di kelas Taleemul Quran ( #TQE3SL) saat ini, giliran belajar surah Al-Ahzab. Membuatkan saya banyak merefleksi apa yang berlaku di tanah-tanah Muslim yang dijajah seperti Palestin dan Turkestan Timur (Uyghur). 

Kenapa orang-orang Islam saat ini masih tak mampu melawan tentera-tentera bersekutu (Amerika, Israel, Kanada dan lain-lain) dalam menyelamatkan Gaza?

Penduduk Madinah ketika itu, jika dicampur populasi lelaki, bayi, kanak-kanak dan wanita, adalah lebih rendah angkanya berbanding jumlah tentera bersekutu yang mahu memusnahkan Madinah. Memang membuatkan saya teringat-ingat apa yang sedang berlaku di tanah Gaza. 

Menariknya dalam Surah Al-Ahzab, terkandung di dalamnya penghapusan amalan tradisi jahiliyyah seperti mem"bin"kan anak angkat dengan bapa angkat. Juga menghapuskan kefahaman menyamakan status anak angkat dengan anak kandung. 

Kita mengenali sosok dua jiwa yang tinggi ketaatannya kepada Robb, iaitu Zaid Bin Harithah dan Zaynab Al-Jahsy. Meskipun kedua-duanya daripada status berbeza, tidak sekufu, tetapi mereka memilih untuk taat apabila diperintahkan untuk bernikah.

=====
{ وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا }

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

[Surah Al-Aḥzāb: 36]
=====

Kedua-duanya akhirnya bercerai dan Rasulullah saw pula diperintahkan oleh Allah SWT untuk menikahi Zaynab (bekas isteri anak angkat baginda) bagi menghapuskan kepercayaan jahiliyyah yang mengakar dalam masyarakat berkenaan anak angkat. Allah SWT yang menikahkan bekas isteri anak angkat baginda dengan Rasulullah saw. 

=====
{ وَإِذۡ تَقُولُ لِلَّذِيٓ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَأَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِ أَمۡسِكۡ عَلَيۡكَ زَوۡجَكَ وَٱتَّقِ ٱللَّهَ وَتُخۡفِي فِي نَفۡسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبۡدِيهِ وَتَخۡشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَىٰهُۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيۡدٞ مِّنۡهَا وَطَرٗا زَوَّجۡنَٰكَهَا لِكَيۡ لَا يَكُونَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ حَرَجٞ فِيٓ أَزۡوَٰجِ أَدۡعِيَآئِهِمۡ إِذَا قَضَوۡاْ مِنۡهُنَّ وَطَرٗاۚ وَكَانَ أَمۡرُ ٱللَّهِ مَفۡعُولٗا }

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

[Surah Al-Aḥzāb: 37]
=====

Perkara yang sudah lama mengakar dalam masyarakat, amat sulit untuk diubah. Kita juga mungkin takut akan celaan masyarakat akibat melawan arus. 

Lalu, perlu ada peristiwa besar berlaku bagi mengubah persepsi masyarakat dan mengembalikannya pada jalan kebenaran. Amalan jahiliyyah mem"bin"kan anak angkat dengan nama ayah angkat meskipun terlihat baik jika dipandang sebagai jalan berbuat baik kepada anak angkat, tetap salah di sisi Tuhan. Peristiwa Allah SWT menikahkan bekas isteri anak angkat baginda kepada Rasulullah saw, menjelaskan lagi hakikat bahawa anak angkat adalah bukan anak kandung. 

Mengapakah peristiwa ini diletakkan dalam Surah Al-Ahzab? Apakah pengajaran yang boleh digarap?

Kita belajar tentang ketaatan kepada Allah SWT adalah suatu keutamaan, meskipun boleh jadi ia adalah bertentangan dengan adat kebiasaan masyarakat. Bahkan sampai satu tahap, satu peristiwa besar perlu berlaku bagi "menyembelih" kefahaman dan kepercayaan yang salah dalam masyarakat. Bukankah Bani Israel juga diperintah sembelih lembu akibat kebergantungan yang sangat kuat dalam masyarakat mereka ketika itu? 

Koreksi dunia kita hari ini, apakah yang perlu disembelih? Apakah sistem kepercayaan yang sangat mengakar dalam masyarakat tetapi sebenarnya bertentangan dengan hukum Tuhan? 

Misalnya, sanggupkah kita menyembelih gaya hidup berhutang dengan institusi yang terang-terangan kaut keuntungan melalui bisnes hutang (riba)? Sanggupkah kita terima hakikat kita boleh hidup tanpa bergantung institusi riba? Bersediakah kita menerima bahawa berhutang hanya dibenarkan jika yang memberi hutang berniat membantu dan tidak mengambil sebarang keuntungan sekalipun? 

Amalan salah yang dinormalisasikan masyarakat, menghilangkan barokah sebuah negara. 
Membuatkan kita lemah. 
Mengakibatkan musuh-musuh bersekutu itu jadi tidak terkalahkan. 

Dalam qunut nazilah, kita bermohon agar dimusnahkan tentera bersekutu (ahzab). 
Namun, sudahkah kita tadabbur Surah Al-Ahzab bagi meraih pedoman mengalahkan tentera bersekutu? 

Justeru.
Sama-samalah kita berdoa kepada Robb agar dikurniakan taufiq mentaatiNya, dan memilih mengutamakan Robb berbanding keinginan mengikut arus, tenggelam dalam normalisasi amalan jahil. Bermula dengan kekuatan Iman dan kekuatan dalaman, selanjutnya kumpul kekuatan mengalahkan musuh-musuh yang bersekutu. 

#033AlAhzab

Ulasan