Dan matahari tetap tak pernah sombong mendahului bulan.


Cuba jenguk ke luar jendela. 
Ketika anda membaca post ini, anda dapat nampak cahaya matahari (siang) atau bulan (malam)? 

Saat sesetengah manusia sewenang-wenangnya melakukan kerosakan atas muka bumi, menumpahkan darah insan tak berdosa, 
rupa-rupanya ada makhluk yang jauh lebih besar dan perkasa tetap taat kepada Robb yang menciptakannya. 

Itulah sang mentari. 
Tidak sombong.
Tidak ego. 
Tetap taat pada aturan Tuhan mengelilingi orbit yang telah ditetapkan untuknya. 
Tetap tunduk disiplin patuh kepada Robb yang menciptakannya. 

Matahari tidak membuli, memasuki orbit yang lain, meskipun dirinya diciptakan dengan saiz yang jauh lebih besar berbanding planet dan bulan. 

=====
{ وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِی لِمُسۡتَقَرࣲّ لَّهَاۚ ذَ ٰ⁠لِكَ تَقۡدِیرُ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡعَلِیمِ }

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

[Surah Yā-Sīn: 38]
=====

Kita tak akan pernah nampak matahari di waktu malam sehingga menutup cahaya bulan. Meskipun matahari sebagai satu ciptaan yang sangat besar dan "perkasa", matahari tak pernah berebut perhatian makhluk lain, dengan si bulan. 

Matahari tak pernah menenggelamkan cahaya bulan dengan muncul pada waktu malam. 

Tetap taat "berenang" pada orbitnya. 

=====
{ لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِي لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِۚ وَكُلّٞ فِي فَلَكٖ يَسۡبَحُونَ }

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

[Surah Yā-Sīn: 40]
=====

Justeru, wahai manusia yang berbuat sewenang-wenangnya di atas muka bumi ini. Sudahkah renungkan bahawa jika Allah SWT menghendaki, boleh sahaja Dia perintahkan matahari untuk melanggar bumi? 

Jika Tuhan menghendaki, boleh sahaja secebis api daripada matahari mengalahkan segala senjata nuklear yang membunuh lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi tidak berdosa. 

Tetapi, Allah SWT masih beri penangguhan azab. 
Bagi melihat jiwa-jiwa manusia mana yang membuktikan iman. 

=====
{ ۞قَالَتِ ٱلۡأَعۡرَابُ ءَامَنَّاۖ قُل لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ وَلَٰكِن قُولُوٓاْ أَسۡلَمۡنَا وَلَمَّا يَدۡخُلِ ٱلۡإِيمَٰنُ فِي قُلُوبِكُمۡۖ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتۡكُم مِّنۡ أَعۡمَٰلِكُمۡ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ }

Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

{ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ }

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

[Surah Al-Ḥujurāt:14- 15]
======

Detik waktu ini, matahari masih bergerak dalam orbitnya. 

Namun, saat Hari Qiamat tiba, berlakulah perkara yang menakutkan makhluk di bumi. 

Itulah saat matahari keluar daripada orbit asal yang selama ini beri manfaat kepada penduduk bumi.

=====
{ یَسۡـَٔلُ أَیَّانَ یَوۡمُ ٱلۡقِیَـٰمَةِ (6) فَإِذَا بَرِقَ ٱلۡبَصَرُ (7) وَخَسَفَ ٱلۡقَمَرُ (8) وَجُمِعَ ٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ (9) ) }

Dia bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari kiamat itu?" Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, 

[Surah Al-Qiyāmah: 6-9]
=====

Renungkan penciptaan matahari. 
Fikirkan penciptaan diri. 

Jika makhluk sebesar matahari pun mampu tunduk pada ketetapan Tuhan...
Apakah yang menyebabkan manusia yang teramat kecil dan lemah, berani mengingkari Tuhan yang menciptakannya? 

Belajar lah daripada ketundukan dan ketaatan matahari kepada Robb. 
Belajarlah untuk tunduk pada aturan perintah dan laranganNya. 
Belajarlah untuk tidak sombong terhadap makhluk lain yang tercipta lemah berbanding penciptaan diri. 

Setiap kita hakikatnya hamba Tuhan yang diuji. 
Dan kita akan kembali kepada Tuhan sendiri-sendiri.

=====
{ إِن كُلُّ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ إِلَّاۤ ءَاتِی ٱلرَّحۡمَـٰنِ عَبۡدࣰا (93) لَّقَدۡ أَحۡصَىٰهُمۡ وَعَدَّهُمۡ عَدࣰّا (94) وَكُلُّهُمۡ ءَاتِیهِ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ فَرۡدًا (95) }

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.

[Surah Maryam: 93-95]
=====

Kerana ideologi patriarki dan feminism bukanlah bersumber ajaran ilahi. 
Belumkah sampai waktunya untuk tunduk pada ajaran Tuhan Yang Maha Mengasihani? 

Ulasan