Renungan soal keadilan di bumi Malaysia


Pagi ni, terbaca lagi laporan berita tentang syarikat yang guna bendera Malaysia tanpa bulan sabit, di expo jualan barangan bayi.

Timbul tanda tanya. Mereka tak suka Islam?

Atau mereka tak suka Muslim di Malaysia akibat "kezaliman" di pihak Melayu-Muslim?

Fikirkan ini.
Bukan bumiputera sebagai rakyat, tetap kena bayar cukai sama seperti rakyat lain. Tetapi banyak privilege dan peruntukan negara dikhususkan untuk bumiputera yang majoritinya Melayu Muslim.

Misalnya dalam pendidikan.

Apakah bayi ketika lahir boleh memilih etnik dan kaum yang dikehendaki? Jika lahir sebagai cina dan India di negara Malaysia, memang berhak dinafikan peluang dan peruntukan sebagai rakyat?

Lalu ada yang berhujah, "mereka golongan pendatang, bukan orang asal."

Apakah dalam Islam kita dilarang berhijrah dan berlaku adil terhadap anak-anak generasi yang berhijrah? 

Sedangkan hijrah itu suatu tuntutan terutama jika tempat yang sedang didiami menghalang daripada individu itu terus "hidup" . 

Realiti pertambahan Muslim di kalangan bukan bumiputera di Malaysia sangat perlahan berbanding negara² lain. Adakah kerana mereka tak nampak "keadilan" dalam agama Islam akibat tindakan Muslim di Malaysia yang tidak mempraktikkannya?

Baru-baru ni, timbul keluhan sana sini kalangan bumiputera T20, M40 kerana peruntukan yang diberikan kepada bumiputera B40. Tak puas hati  dengan perbezaan bayaran haji. Tak puas hati dengan peluang pendidikan yang diutamakan kepada B40.

Lalu ada yang menyatakan T20 atau M40 hanyalah label gaji. Tapi hidup mereka tetap B40, malah mungkin lebih rendah akibat hutang yang lebih banyak.

Begitulah negara ini. Pengharaman riba hilang fungsi kerana sudah ada platform buat hutang yang bank tetap dapat keuntungan meskipun namanya bukan riba. Sudah ada platform yang meskipun katanya tanpa riba, tetapi kesemua keburukan riba tetap terpalit.

Cuba renungkan.

Kalau bumiputera sesama bumiputera pun tak berpuas hati...

Pernah terfikir apa perasaan bukan bumiputera yang dinafikan jauh lebih banyak peruntukan dan peluang?

Bahkan sesama bumiputera juga berlaku kezaliman. Sebelum pemansuhan sistem pencen, memang pekerja swasta rasa tak puas hati kerana pekerja kerajaan dapat pencen sebanyak 60% daripada gaji terakhir. Hanya kerana bergelar "gov servant". Jika dalil yang digunakan adalah "hak". Apa bezanya dengan orang Yahudi yang claim mereka berhak dapat tanah di Palestin hanya kerana "hak"? Apakah di akhirat kelak Allah SWT tidak akan mempersoalkannya?

Jika keadilan hilang dalam pemerintahan, usah hairan jika negara ini boleh "hilang". Musuh luar mudah menjajah.

Kemerdekaan hakikatnya bukan abadi.

Dengan rakyat yang lemah ikatan perpaduan akibat kezaliman yang berlaku banyak peringkat, sudahkah kita bersedia menghadapi banyak kemungkinan yang tidak diingini? 


Saat negara lemah dan dirampas kuasa besar serta gagal mendapat pertolongan Tuhan akibat dosa besar riba,  ketika itu tiada lagi ruang memekik "Ini hak kami sebagai bumiputera." 

Ulasan