"Tengok ni buku HAMKA. Evergreen. Beliau dah tiada, tapi manusia terutamanya rumpun Nusantara masih memanfaatkan karya beliau."
Saya pernah terfikir, bagaimana nak pastikan karya penulisan masih dimanfaatkan walaupun si penulis telah kembali kepada Tuhan?
Bagaimana nak bina legasi amal jariah yang pahalanya terus mengalir meskipun diri telah meninggalkan dunia?
Setiap kita hakikatnya pasti meninggalkan jejak.
Sama ada jejak yang ditinggalkan itu adalah baik atau buruk, tergantung amal yang dilakukan semasa di dunia.
=====
{ إِنَّا نَحۡنُ نُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَكۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَيۡءٍ أَحۡصَيۡنَٰهُ فِيٓ إِمَامٖ مُّبِينٖ }
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
[Surah Yā-Sīn: 12]
=====
Dalam Surah Yā-Sīn, ada satu teladan besar kalangan manusia "biasa". Dia bukanlah siapa-siapa ketika di dunia. Bahkan namanya pun didiamkan oleh Allah swt. Beliau bukan juga golongan kaya dan terkenal di tengah bandar. Tetapi Allah SWT mengangkat darjatnya kerana amal dakwah yang dilakukan.
Itulah seorang pemuda dari hujung kota. Yang sanggup ambil risiko, mengorbankan nyawa demi seru kaum yang dikasihi, agar mengikuti para Rasul.
=====
{ وَجَاۤءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِینَةِ رَجُلࣱ یَسۡعَىٰ قَالَ یَـٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُوا۟ ٱلۡمُرۡسَلِینَ (20) ٱتَّبِعُوا۟ مَن لَّا یَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرࣰا وَهُم مُّهۡتَدُونَ (21) وَمَا لِیَ لَاۤ أَعۡبُدُ ٱلَّذِی فَطَرَنِی وَإِلَیۡهِ تُرۡجَعُونَ (22) ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِۦۤ ءَالِهَةً إِن یُرِدۡنِ ٱلرَّحۡمَـٰنُ بِضُرࣲّ لَّا تُغۡنِ عَنِّی شَفَـٰعَتُهُمۡ شَیۡـࣰٔا وَلَا یُنقِذُونِ (23) إِنِّیۤ إِذࣰا لَّفِی ضَلَـٰلࣲ مُّبِینٍ (24) إِنِّیۤ ءَامَنتُ بِرَبِّكُمۡ فَٱسۡمَعُونِ (25) }
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu - "Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya):
"Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
"Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata."Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)".
[Surah Yā-Sīn: 20-25]
=====
Setelah menyampaikan seruan dakwah, beliau dibunuh. Nampak seperti pengakhiran tragis. Tetapi rupa-rupanya adalah permulaan kepada kehidupan penuh kemuliaan yang abadi.
=====
{ قِیلَ ٱدۡخُلِ ٱلۡجَنَّةَۖ قَالَ یَـٰلَیۡتَ قَوۡمِی یَعۡلَمُونَ (26) بِمَا غَفَرَ لِی رَبِّی وَجَعَلَنِی مِنَ ٱلۡمُكۡرَمِینَ (27) }
(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
"Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".
[Surah Yā-Sīn: 26-27]
=====
Allah SWT memakbulkan keinginannya untuk menyampaikan berita tentang bagaimana dia beroleh kemuliaan di syurga. Meskipun kaumnya tidak mendapat perkhabaran itu, tetapi semua Umat Muhammad saw tahu bicaranya kerana Allah SWT merakam kata-katanya dalam Al-Quran.
Bukankah kata-kata yang paling baik adalah seruan manusia kepada Allah swt?
=====
{ وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ }
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
[Surah Fuṣṣilat: 33]
=====
Dan kata-kata seruan pemuda inilah yang dirakam dalam Al-Quran. Menjadikan kata-katanya terpelihara sebagai amal soleh meskipun beliau telah lama meninggalkan dunia ini.
Tiada siapa yang tahu nama pemuda tersebut.
Tiada siapa yang tahu siapalah gerangan pemuda tersebut.
Hakikatnya, cukuplah Allah SWT yang tahu gerangan si hamba yang berjuang demi agamaNya. Dan cukuplah Allah sahaja yang membalas setiap amal.
Justeru, teladanilah pemuda dari hujung kota ini. Yang tidak berdiam diri dengan imannya tetapi bangkit serta bersegera menyampaikan seruan dakwah. Biarpun terpaksa mengorbankan nyawa.
Moga Allah SWT mengampuni kita, serta melimpahkan taufiq untuk beramal soleh.
Ulasan
Catat Ulasan