Dulu-dulu, ketika usia kanak-kanak & remaja, erti "kawan-kawan" sangat bermakna.
Mahu diterima lingkungan.
Mahu disukai rakan sebaya.
Andai tidak diajak, rasa tersisih & sedih sekali.
Ketika dewasa, mengimpikan pula pasangan hidup. Yang berperanan sebagai sahabat, pendamping & penolong dalam melalui ranjau kehidupan.
Dan akhirnya ketika usia lanjut, masih mengimpikan pendamping agar tidak rasa kesunyian.
Makin meningkat usia, kita semakin memahami realiti tiada manusia sempurna, bukan?
Memiliki "teman", meskipun anugerah, tetaplah ujian dalam membentuk akhlak serta membuktikan Iman.
Sehingga akhirnya, kita tersedar yang kebanyakan waktu, kita sendiri-sendiri. Selamanya bergantung hanyalah kepada Robb, Pencipta diri.
Begitulah,
Hubungan sesama manusia tidak selamanya berkekalan.
Dan.
Ada satu lagi bentuk hubungan.
Pernah terfikir tentang hubungan istimewa dengan malaikat?
Hari ini, ketika menelaah Surah Fuṣṣilat dalam kelas #TQE3SL , baru tahu perihal malaikat yang menjadi wali kepada golongan terpilih.
Para malaikat berjanji menjadi wali kepada hamba beriman yang memenuhi dua syarat.
Apakah syarat-syarat itu?
=====
{ إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ }
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Robb kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
[Surah Fuṣṣilat: 30]
=====
Merenung ayat di atas, tanya pada diri.
Sudahkah saya benar-benar meyakini Allah SWT sebagai Robb?
Kalimah "Robb" adalah nama Allah SWT yang paling kerap diulang dalam Quran setelah nama "Allah".
Dialah Maha Pencipta.
Dialah Pemberi Rezeki.
Dialah Pentadbir Alam ini.
Kita tak akan mampu mencerna segala kunyahan makanan tanpa Robb.
Kita tak akan mampu bergerak dan bekerja tanpa Robb.
Kita tak akan mampu menumbuhkan tanaman tanpa Robb.
Justeru, hamba beriman yang meyakini segalanya bergantung pada Robb, akan sanggup istiqamah taat perintahNya dan jauhi laranganNya. Meskipun mungkin majoriti masyarakat tidak bersetuju dengan jalan hidup yang dipilih.
Misalnya,
Seorang majikan yang meyakini Allah sebagai Robb, akan sanggup menghentikan mesyuarat ketika tiba waktu solat. Juga sanggup membenarkan anak majikannya berhenti rehat bagi menunaikan solat. Meskipun masyarakat sering menakut-nakutkannya dengan "kerugian" saat buat pilihan "mengurangkan" waktu bekerja.
Contoh lain,
Seorang pekerja yang meyakini Allah sebagai Robb, akan sanggup hidup sekadarnya, bersabar tidak memiliki sesuatu di luar kemampuan, demi taat terhadap larangan riba. Meskipun masyarakat berlumba-lumba memiliki segala yang boleh dimiliki secara hutang, dia tetap istiqamah taat kepada Allah Al-Hakim yang telah mengharamkan riba.
Pilihan sebegini pastinya bukan mudah.
Tapi bagaimana ada jiwa-jiwa manusia itu diberi kekuatan melawan arus?
Sanggup bersabar tidak memenuhi kehendak diri?
Tidak mensyirikkan Allah dengan nafsu sendiri?
Rupa-rupanya, salah satu faktor adalah kerana banyaknya malaikat yang turun berbisik, mengilhamkan motivasi. Agar tetap bertahan taat pada petunjuk ilahi.
Seberapa kerap para malaikat turun?
Kalimah تَتَنَزَّلُ dengan penambahan huruf ت menggambarkan kekerapan yang tinggi. Setiap kali si hamba membuat pilihan atas dasar membuktikan Imannya kepada Robb, saat itulah malaikat turun menjadi pendamping. Berbisik dan berbicara menenangkan jiwa.
Dan selama mana hubungan istimewa antara manusia dan malaikat ini berlangsung?
Bermula di dunia, dan merentas masa jauh sehingga ke akhirat.
=====
{ نَحۡنُ أَوۡلِيَآؤُكُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَلَكُمۡ فِيهَا مَا تَشۡتَهِيٓ أَنفُسُكُمۡ وَلَكُمۡ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ }
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.
[Surah Fuṣṣilat: 31]
======
Maka,
Duhai jiwa yang rasa sendirian,
kerana melawan arus demi membuktikan iman, ketahuilah bahawa para malaikat sering menjadi peneman,
berterusan turun bagi mengilhamkan,
bahawa syurga menanti sebagai ganjaran,
Kurniaan Robb Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ulasan
Catat Ulasan