Ada adik-beradik enggan menjaga atau berbuat Ihsan kepada orang tua kerana takut hilang rezeki.
"Saya sibuk bekerja, tak sempat nak tengok-tengokkan mak."
Ada ahli masyarakat yang larut dengan gaya hidup majoriti, tak nampak cara untuk hidup tanpa riba.
"Zaman sekarang, tak logik kalau tak buat pinjaman bank. Riba tu dah jadi keperluan."
Ada lelaki, tak sanggup beri nafkah kepada bakal isteri. Lalu sebelum pernikahan, telah meletakkan syarat.
"Kalau nak saya nikahi, wajib bekerja sara diri. Sebab gaya hidup zaman sekarang, saya tak mampu tanggung."
Ini realiti kehidupan salah sebuah negara di Asia Tenggara. Fenomena ini bukan hanya pada drama-drama tempatan tetapi dapat diperhatikan pada mereka yang dekat dan di sekeliling kita.
Disebabkan fenomena ini berlaku secara meluas, akibatnya sudahpun menjadi norma, mempengaruhi cara bersikap masyarakat. Lalu hilang rasa malu untuk buat keputusan yang menyelisihi suruhan agama.
"Bukan saya seorang buat keputusan begini. Majoriti buat macam ni."
Paling parah, golongan yang berbuat perkara benar pula dianggap pelik sehingga dimalukan.
Misalnya, isteri tidak bekerja kerana galas amanah didik anak-anak akan kandungan Quran, terlihat sebagai pentingkan diri sendiri, tidak membantu suami. Bahkan dilabel tidak mengenang budi ibu dan ayah kerana belajar tinggi-tinggi, kemudian tidak bekerja.
"Duit", material, dah jadi tujuan hidup.
Dari sudut sistem kepercayaan, hal ini berlaku akibat masing-masing tidak mengenali Robb, lalu bergantung sumber rezeki kepada diri sendiri. Rezeki itu diusahakan mengikut logik matematik akal sendiri.
Logik akal, kalau luangkan masa berbuat Ihsan kepada ibu bapa, itu maknanya hilang masa untuk bekerja. Hilanglah rezeki.
Kalau suami jadi "sole breadwinner" rumahtangga, hanya satu sahajalah sumber pendapatan. Itu dilihat sebagai kekurangan bila dibandingkan pada majoriti masyarakat yang ada dua manusia bekerja untuk tampung satu keluarga.
Matematik yang dah disekularkan.
Bukan pendidikan sains sahaja yang sekular. Tetapi zaman kini, majoriti pendidikan memang terpisah daripada panduan wahyu.
Mari renungkan satu surah yang mengajar kita tentang rezeki.
Surah Adz-Dzariyaat bermula dengan mengajak manusia berfikir tentang kekuasaan Allah SWT yang mengatur sumber rezeki. Segala kerajaan langit dan bumi adalah bawah aturanNya.
Surah yang sama membawa kita berfikir tentang rezeki anak yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim & isterinya. Meskipun logik akal, terasa mustahil dapat anak.
Dan hujung surah ini mengajar kita hakikat rezeki. Bahawa Dialah yang mengurniakan rezeki kepada manusia.
Justeru, apakah wajar mengingkari Ar-Razzaq, enggan patuh kalamNya (Quran), tetapi masih berharap rezeki daripadaNya?
{ وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ (56) مَاۤ أُرِیدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقࣲ وَمَاۤ أُرِیدُ أَن یُطۡعِمُونِ (57) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِینُ (58) }Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.[Surah Adh-Dhāriyāt: 56-58]
Realitinya, usaha manusia sangat terbatas dalam mendapat rezeki. Kita tak mampu mengawal pergerakan angin dan awan. Apatah lagi hujan. Kita tak mampu memastikan matahari terus terbit setiap hari. Justeru mustahil untuk kita menumbuhkan sebarang tanaman.
Akhirnya, rupa-rupanya usaha sebatas kudrat kita adalah bentuk doa permohonan kepada Allah SWT agar dikurniakan rezeki.
Justeru...
Bermohonlah rezeki kepada Allah SWT dengan berbuat Ihsan kepada ibu bapa.
Bermohonlah rezeki kepada Allah SWT dengan menjauhi dosa-dosa seperti riba, mendekati zina, rasuah dan lain-lain.
Bermohonlah rezeki kepada Allah SWT dengan melaksanakan amanah sebagai suami yang qawwam.
Bermohonlah rezeki kepada Allah SWT dengan melaksanakan tugas khalifah, bersungguh-sungguh didik anak akan kandungan kalamNya.
Menjadi hamba, mengabdi kepadaNya, adalah kunci mendapatkan rezeki.
Ulasan
Catat Ulasan