Bayangkan situasi ini.
Anda tiba awal ke suatu majlis ilmu lalu bersegera duduk di kerusi harapan. Kelas pun bermula. Lama kemudian, tiba-tiba datang beberapa peserta baru. Kelewatan mereka membuat anda sangat-sangat terganggu. Untuk seketika, mereka mencuri tumpuan kerana terpaksa mencari-cari apakah ada lagi tempat kosong untuk diduduki. Anda menjegilkan mata kepada salah seorang daripada mereka dan meletakkan jari telunjuk di mulut sebagai isyarat senyap.
Rakan sebelah anda, lebih kecewa. Kerana rupa-rupanya salah seorang peserta lewat adalah tetamu terhormat lalu pihak penganjur menyuruh rakan anda bangun dan duduk di belakang.
Anda ternampak riak tidak senang pada wajah rakan tersebut. Anda mengharapkan amarahnya reda agar tetap boleh menikmati pengajian dengan selesa.
Tiba-tiba penganjur berbisik sesuatu kepada rakan anda lalu anda nampak terukir senyuman pada bibirnya. Mungkin ada sesuatu yang dijanjikan, merawat kecewa setelah disuruh berpindah ke belakang.
Pernah lalui situasi di atas?
Mungkin pihak penganjur menjanjikan kelas percuma selama setahun. Lalu rakan anda sanggup melapangkan kerusi buat tetamu lewat pada masa yang sama melapangkan dadanya menerima ujian kecil yang perlu dihadapi.
"Bolehlah penganjur beri hadiah begitu. Dia kan tuan rumah...."
Cuba renungkan. Bagaimana pula jika yang menjanjikan kebaikan atas tindakan melapangkan tempat duduk di majlis-majlis, adalah Tuhan yang memiliki segala di langit dan bumi. Bahkan turut memiliki negara akhirat.
Sejauh mana hati itu sanggup memberi kelpaangan di majlis-majlis?
======
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قِیلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُوا۟ فِی ٱلۡمَجَـٰلِسِ فَٱفۡسَحُوا۟ یَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡۖ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang (misalnya dari tempat duduk kamu untuk orang lain) di dalam majlis-majlis, maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.
[Surah Al-Mujādilah: 11]
======
Barangsiapa yang memberi ruang ,rupa-rupanya Allah SWT lah yang akan balas dan memberi ruang serta melapangkan baginya
Apa yang Allah SWT nak luaskan dan lapangkan, tidak dinyatakan secara terperinci di sini. Membuatkan ganjaran itu menjadi luas-seluasnya..
Boleh jadi Allah SWT melapangkan dadanya dalam menghadapi masalah.
Allah SWT juga boleh meluaskan rezekinya.
Dia boleh melapangkan kubur hambaNya.
Dan Dia juga boleh mengurniakan kediaman yang sangat lapang dan luas di syurga nanti.
Apa yang si hamba lakukan sangat kecil dan terbatas jika difikirkan. Tetapi ganjarannya sangat besar di sisi Allah SWT.
Justeru, saat berada di majlis-majlis atau di masjid-masjid, hadirilah dengan etika selari panduanNya. Lapangkanlah hati menerima semua yang hadir dengan mengukirkan senyuman. Beri ruang kepada peserta yang baru masuk. Usah cipta suasana membuatkan insan lain terasa sempit untuk hadir.
Lapangkanlah. Moga-moga Allah SWT melapangkan pula untukmu.
Ulasan
Catat Ulasan